11 May 2010

Rokok .. oh.. rokok....


Pendapat tentang merokok:


1. Haram
Para ulamak dari golongan pertama mengatakannya sebagai haram secara mutlak. Mereka mengharamkannya atas sebab-sebab berikut:


1)  Asap dan bau rokok adalah keji. Firman Allah Taala: (Al-A’raf:157)
2) Rokok mengakibatkan kematian sebahagian penghisapnya. Firman Allah Taala:
(Al-Nisaa’:29)
3)  Membelanjakan wang untuk rokok merupakan suatu pembaziran. Kerana rokok
tidak membawa sebarang faedah. Firman Allah Taala: (Al-Isra’:26)
4) Rokok mengandungi kemudaratan yang diakui oleh para doktor. Sabda Rasulullah s.a.w.: "Tidak boleh memberi mudarat dan tidak memudaratkan." (HR Malik, Daruquthni & Jamaah)
5) Asap dan bau rokok adalah kotor/tidak bersih. Sabda Rasulullah s.a.w.: ‘Allah itu bersih dan Dia cintakan kebersihan" (HR al-Bazzar)
6) Merokok dapat menyakiti orang yang bersebelahan atau berhampiran dengannya. Sabda Rasulullah s.a.w.: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan dan akhirat, janganlah menyakiti jirannya." (HR Bukhari & Muslim)
2.  Makruh
Para ulamak yang berpendapat bahawa rokok itu makruh adalah dengan beberapa alasan, antaranya ialah:

1. Merokok memudaratkan kesihatan, lebih-lebih lagi jika ia dihisap dengan
banyak. Manakala yang menghisap sedikit, jika dihimpun-himpun akan menjadi
banyak juga.
2. Mengurangkan harta, sekalipun tidak sampai ke peringkat membazir.
Padahal, jika duit itu digunakan untuk perkara-perkara yang bermafaat adalah
lebihbaik lagi.
3. Bau dan asap rokok yang tidak enak boleh menganggu dan menyakiti orang
lain. Sama seperti orang yang memakan bawang mentah, petai, jering dsbnya.
4. Masyarakat memandang rendah orang yang menghisap rokok.
5. Melalaikan seseorang dari mengerjakan ibadah secara sempurna.
6. Orang yang ketagihan rokok, fikirannya menjadi tidak keruan apabila tidak
dapat merokok dalam jangka waktu tertentu.
Syeikh Abu Sahal Muhamad bin al-Wai’z al-Hanafi mengatakan bahawa kemakruhan
merokok disabitkan dengan dalil yang pasti (qath’I), sedangakan keharamannya
disabitkan dengan dalil yang zhanni (tidak pasti).

3. Boleh
Semuanya itu pada asalnya adalah halal. Sedikitpun tidak haram. TETAPI…Ia
akan bertukar menjadi haram seandainya:
a. Ada dalil yang mengharamkannya. Seperti daging babi, asalnya adalah halal, tetapi sebab ada ayat al-Quran yang mengharamkannya, maka ia bertukar menjadi haram. Jadi, babi itu haram dimakan bukan sebab dirinya itu haram, tetapi sebab al-Quran mengharamkannya.
b. Di bawah satu dalil atau kaedah umum yang membawa kepada hukum haram. Seperti, ada ayat al-Quran yang secara umum melarang membunuh jiwa. Jadi, kalau kita temakan racun yang boleh membawa maut, maka haram hukumnya. Asal racun itu adalah halal, tetapi oleh kerana ayat suatu ayat umum yang melarang membunuh jiwa, maka racun itu bertukar menjadi haram dimakan.
c. Diqiyaskan dengan kepada sesuatu yang haram, yang illahnya bersekutu pada keduanya. Contohnya, dadah. Mana ada di dalam al-Quran yang menyatakan secara jelas tentang haramnya dadah. Tetapi, ia diqiyaskan dengan khamar yang secara jelas diharamkan oleh al-Quran. Khamar diharamkan kerana memabukkan. Kerana memabukkan itulah yang disebutkan sebagai illah (penyebab hukum berlaku). Jadi, dapat ditarik kesimpulan bahawa setiap perkara yang ada illah itu adalah haram hukumnya. Dadah, ada atau tidak illah tersebut (memabukkan)? Sudah tentu ada! Maka dadah juga dihukumkan haram seperti arak.
Dalil yang digunakan untuk mengharamkan rokok dilalahnya (petunjuk hukum) bersifat zhanni (tidak pasti). Perkataan keji di dalam ayat yang diberi – adalah tidak tepat jika memasukkan asap rokok ke dalam sebahagian dari maksud `keji’ yang dikehendakki oleh al-Quran. Begitu juga dengan membunuh jiwa. Ia tidaklah secara yakin berlaku kepada semua perokok dan dalam semua keadaan. Mengenai kemudaratan merokok pula, tidaklah semua yang memudaratkan
itu haram hukumnya. Ada mudarat yang tidak haram. Kemudaratan adalah sesuatu yang besifat nisbi – ada yang haram dan ada yang makruh. Tentang hujah mengatakan ia menyakitkan /mengganggu, sama seperti memudaratkan. Tidak semuanya haram, ada juga menyakitkan itu hanya makruh sahaja. Samalah halnya dengan hujah lain yang diketengahkan, yaitu: kebersihan dan pembaziran. Tidak semuanya haram, kerana di sana ada yang makruh sahaja hukumnya.

Mengingat mudharatnya yang sangat jelas, nampaknya pendapat 1 dan 2, lebih berhati-hati

Tarjih
1.Dr. Yusof al-Qardhawi lebih cenderung kepada hukum haram merokok..
2. Para ulamak Hijaz juga cenderung kepada hukum haram merokok.
3. Syeikh Mahmud Syaltut cenderung kepada hukum haram merokok.

4. Syeikh Abu Sahal Muhamad bin al-Wa’izh al-Hanafi condong kepada hukum   makruh.
5. Syeikh Abdul Ghani al-Nabilisi mengatakan boleh .
6. Syeikh Athiyah Saqr condong kepada pendapat yang memperincikan hukum merokok.

Penemuan
Seorang pakar akademik dari Australia semalam mendedahkan satu hasil kajian di Belanda baru-baru ini yang mendakwa menemui sel darah merah babi sebagai kandungan penyekat bahan kimia dalam puntung rokok.
Profesor Simon Chapman dari Universiti Sydney dilaporkan berkata, kajian itu mendapati babi digunakan dalam 185 jenis industri termasuk penemuan sel darah merah haiwan itu dalam penapis (filter) rokok.
Kenyataan beliau yang disiarkan oleh akhbar Daily Telegraph menjelaskan, hasil kajian tersebut pastinya mengejutkan perokok yang beragama Islam serta Yahudi yang diharamkan memakan babi.





SEBAB MENGAPA ISLAM MENGHARAMKAN ROKOK
1. Rokok menjejaskan akal (mental)
2. Rokok membahayakan kesihatan fizikal
3. Rokok membahayakan keselamatan diri dan orang lain.
4. Rokok membahayakan keturunan
5. Rokok mengganggu manusia lain.
6. Rokok menimbulkan akhlak buruk
7. Rokok mensia-siakan waktu hidup
8. Rokok bercanggah dengan maruah keislaman
9. Rokok membazirkan harta (wang)
10. Rokok mengandungi dadah (nikotin dan arak)

'Fatwa Semasa Mengenai Hukum Merokok' yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti sebuah negeri.
1. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya hukumnya adalah haram kerana daripadanya terdapat kemudaratan. Fatwa yang termasyur di seluruh dunia iaitu Al-Marhum Mufti Saudi, Syeikh Abdul Aziz bin Baaz
2. Ulama-ulama semasa seperti Dr Abdul Jalil Shalabi mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan masyarakat.
3. Dr Zakaria Al Bari (anggota Akademi Kajian Islam dan Anggota Lujnah Fatwa Al-Azhar) menyatakan merokok hukumnya haram atau makruh adalah pendapat yang kuat.
4. Al Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya telah memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.
5. Syeikh Hasanain Makhluf iaitu bekas Mufti Kerajaan Mesir telah menetapkan merokok adalah haram jika mendatangkan mafsadat kesihatan dan mengurangkan hak keluarga dari segi pengurangan nafkah kepada keluarganya. Makruh jika mafsadat itu tidak ketara atau tidak mengurangkan hak nafkah keluarga. * Fatwa Al-Azhar terdahulu iaitu Syeikh Abdullah Al-Masyd (Ketua Lembaga Fatwa Azhar), Dr. Ahmad Umar Hashim (Naib Canselor Al-Azhar) dan lain lain
6. Di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 yang berlangsung pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram menurut pandangan Islam.
7. Fatwa Negeri Selangor Darul Ehsan yang telah diwartakan pada 7 Disember 1995 di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989 telah menyebutkan bahawa amalan menghisap apa jua jenis rokok adalah haram bagi mana-mana orang Islam.
8. Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa menanam tembakau atau merokok dan memanfaatkan hasil tembakau adalah haram.
9. Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah berpegang kepada fatwa merokok adalah haram walaupun sehingga kini belum ada penguatkuasaan berhubung perkara itu kerana berdasarkan pendapat pengamal perubatan bahawa perbuatan merokok boleh mendatangkan mudarat.
10. Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka juga telah bersetuju menerima pakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram.

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete