NEW YORK - Pakar matematik Rusia yang gemar bersendirian, Grigory Perelman, menolak satu lagi hadiah berjumlah AS$1 juta (RM3.2 juta) setelah dia meraih populariti global kerana memberi jawapan mengenai masalah matematik dikenali sebagai tekaan Poincare yang dianggap mustahil untuk diselesaikan.
Pihak pengurusan Institut Matematik Clay (CMI) memberitahu kelmarin bahawa Perelman memaklumkan pusat penyelidikan itu yang beribu pejabat di Cambridge, Negeri Massachusetts, Amerika Syarikat (AS) bahawa dia tidak akan menerima hadiah tersebut.
Pada 8 dan 9 Jun lalu, institut berkenaan telah mengadakan satu persidangan di Paris bagi meraikan kejayaan Perelman menyelesaikan tekaan Poincare yang merujuk kepada ciri-ciri ruang berbilang dimensi.
Perelman berjaya membuktikan bahawa sebarang bentuk yang tidak memiliki lubang boleh diunjur atau dikecilkan menjadi satu sfera.
Tekaan Poincare telah membingungkan pakar-pakar matematik sejak ia dicetuskan oleh seorang warga Perancis, Henri Poincare pada 1904.
Hadiah CMI diumumkan selepas beberapa pakar memeriksa penemuan Perelman dan mendapati jawapannya tepat dan sempurna.
Sementara itu, CMI menyatakan, ia akan mengumumkan pada musim luruh ini cara untuk menggunakan wang hadiah yang ditolak oleh Perelman itu bagi manfaat bidang matematik.
Perelman sebelum ini menolak banyak hadiah dan berulang kali tidak muncul pada acara penyampaian hadiah yang diadakan untuk dirinya.
Dia menyiarkan penyelesaian untuk tekaan Poincare di Internet pada 2002 dan 2003.
Pada 2006, Perelman telah dianugerahkan Pingat Fields bersama sejumlah wang yang merupakan pengiktirafan tertinggi dalam bidang matematik, setanding dengan Hadiah Nobel.
Namun, ahli matematik berusia 44 tahun itu menjadi orang pertama menolak Pingat Fields dengan alasan tidak mahu menonjolkan diri kerana dia bukan lagi sebahagian daripada komuniti pakar matematik. - Petikan dari KOSMO
No comments:
Post a Comment